Sunday, May 30, 2010

Budaya Menegur Kesalahan

Percayalah dan Bersedialah… pasti akan berlaku dalam hidup kita pelbagai silap faham dan tidak sama pendapat. Kenapa? Sebabnya kita semua tidak sama tahap kefahamannya terhadap sesuatu perkara.

Namun percaya lah juga… bahawa kita semua yang berselisih dan silap faham tadi akan saling tegur, mengenai kesalahan atau idea yang kurang bernas dalam perbincangan dan mencari solusi sesuatu letak perkara yang dibincangkan.

Tujuan Menegur

“Kau tegur aku atau kau marah aku?”

“Engkau mahu nasihatkan aku atau engkau mahu tohmah caci aku?!”

Dialog di atas cukup menjengkelkan dan ia sering berlaku kepada kita bahkan.

Si penegur atau tukang beri nasihat perlu jelas bahawa perbuatannya hanya satu, tawasau bil Haq wa tawasau bis Sabr. Membetulkan kesilapan dengan memahamkan kebenaran dan mendamaikan dengan kesabaran.

Tua dan Muda

Dalam soal tegur-menegur ini, biasanya golongan muda akan lebih banyak diam, sementara golongan tua atau senior akan lebih superior atau lantang memberikan nasihat. Dalam masyarakat Nusantara ini, sebahagian besar orang muda lebih memberikan autoriti kepada golongan senior untuk menegur dahulu. Walaupun ianya berlaku silap faham dalam kalangan muda.

Jangan patuh buta pada senior. Tegur pada membetulkan kesilapan yang dilakukan.

Kepatuhan mutlak hanya buat Rabbul Jalil, Allah Penguasa Manusia, Raja Alam ini. Pada manusia kita hanya menurut pada perkara yang disepakati Islam.

Hakikatnya, dalam perihal tegur-menegur ini, tidak mengira umur atau pangkat, tegurlah selagi mana benar dan kena pada caranya.

Masa Menegur & Ilmu

“Engkau takkan tak nasihatkan dia semasa dia buat benda tak senonoh tu!?”, kata si kawan apabila mendengar cerita kawannya yang lain dalam kemunkaran.

Kawan yang seorang ini dengan muka malasnya menjawab balas, “Alahai, biarlah ayah dia yang tegur dia, ayah dia lagi berhak.”

Jika kita mengharap dan memberikan autoriti menegur lebih dahulu kepada golongan senior, maka tujuan menegur itu sukar dicapai. Tambahan kehangatan peristiwa sukar dirasai jika penegur lambat atau tidak kena pada situasi berlakunya perselisihan atau kemunkaran.

Kebenaran, walaupun pahit kadangnya, perlu disampaikan segera, sebab setengah keadaan itu memerlukan kebenaran pada waktu itu juga untuk menatijahkan kebaikan pada semua.

Firman Allah Maha Bijaksana yang dapat kita fahami:

Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” (Surah An-Nahl: 125)

Jika merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para daie supaya menyebarkan dakwah dan memberikan nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi. Para daie mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.

Al-Qurtubi menambah lagi bahawa hukum menasihati dan menegur sesama muslim secara lemah-lembut dan bijaksana ini kekal sehingga hari kiamat.

Namun pada sejarah Islam, terlihat contoh psikologi persuasif baginda Ar Rasul Muhammad didatangi oleh seorang lelaki yang meminta izin dari baginda untuk berzina. Lalu apakah respon baginda? Adakah Rasulullah mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Bahkan Rasulullah bertanya lelaki itu kembali, “Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu: “Aku tidak suka ya Rasulullah,” Lantas baginda berkata dengan lembut: “Begitu juga dengan orang lain, mereka jua tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka.”

Itulah dia antara uslub atau kaedah Rasulullah menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita sering ketepikan tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah SAW Kenapa kita sering ‘berkasar’ ketika menegur saudara-saudari kita sesama muslim? Gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari musuh dan pergaduhan.

Spesifik atau Khusus pada yang Haq

“Jika engkau dah membohong, pastinya yang mengajarnya cikgu engkau di sekolah usang itu.”

“Awak ini tak patut babitkan sekolah kami, yang bersalah hanya dia seorang, jangan kamu buat fitnah terhadap cikgunya pula.”, seorang yang lain meredakan.

Berhati-hati dan berwaspada di waktu menegur atau mengeluarkan kenyataan. Ia bakal mengundang pergaduhan antara kumpulan dan juga bangsa. Ya Allah minta dijauhkan.

‘Holier than thou’ / ‘Gua’ lagi mulia dari ‘lu’

Bukan diajar oleh cikgu di sekolah, juga bukan Perdana Menteri yang memerintah, dan yang sewaktu dengannya. “Inna akramakum indaLlahi at qakum..”dari surah Al Hujurat ayat 13 yang diajar. Sayugia diingatkan di sini agar kita buat usaha kita sebagai manusia & tinggalkan urusan Allah SWT kepada Allah. Mana kita tahu amalan siapa yang lebih tinggi darjatnya? Mana kita tahu amalan siapa pula yang diterimaNya.

Teguran : Oleh itu, sila berhenti dari mempunyai unsur & sifat sebegini dalam jiwa kita apabila menulis & menjalani kehidupan seharian. Laksanakan haq kita & tinggalkan hak Allah untuk Allah SWT.
Teguran & Jiwa Besar, Sabar & Husnudzan yang Tinggi.
“Jika engkau mahu nasihatkan anak engkau, mestilah engkau rendahkan suara, tidak mestinya dengan suara kasar teriak, utamanya tegur nasihat engkau itu, hadirkan ia dari jiwa hati engkau yang bersih agar mudah anak mendengar terima. Anak engkau itu bukannya bebal dan pekak telinganya, cumanya nasihat kita mesti ada baik sangka bunyinya pada telinga anak kita itu, tidak terasa di hatinya sedikitpun buruk sangka dari nasihat yang kita sampaikan. Anak kita masih lagi boleh ditegur, bukan Firaun yang mengaku Tuhan sombong.” pesan sahabat yang lebih berpengalaman dalam mendidik anak pada sahabatnya yang seorang ini.
Ya, teguran itu ada kaitannya dengan penerimaan hati dan jiwa. Manusia berhubungan dengan perasaan. Perlu tulus dan ikhlas.
Lainnya, perlu banyak sabar dan bersangka baik terhadap orang yang ditegur. Jelas dahulu dengan kekusutannya, baharu disusun kata dalam nasihat.
Memulakan Teguran

Panggillah dengan apa-apa gelaran yang sesuai, berhentilah merendah-rendahkan orang lain, teruskan berkongsi kerana ia sangat penting buat kita.

Panggillah Abang, Pakcik, Makcik, atau apa jua panggilan sekalipun yang melembutkan hati kepada mereka yang lebih tua. Juga panggillah Anakku, cahaya mataku, Ibuku, ayahku, atau jua kesukaan yang mententeramkan jiwa kepada jiwa pemuda-pemudi kita. Agar keduanya tidak terabai dari menerima kebaikan dari manfaat ditegur.

Menyampaikan Idea dalam Teguran

“Pakcik, saya fikir pakcik sepatutnya….” hingga akhir teguran.

“Bernas atau tidak teguran engkau ini? Atau memandai sahaja?”

Jangan takut orang cabar idea kita.. Kita kena berani menyuarakan pendapat dan pandangan.. otherwise.. kita orang muda ni hilang peranan jika terlalu mengharap hebat dari golongan tua atau senior.

Peluang dan Dendam dalam Teguran

Janganlah kita menggunakan ‘teguran’ atau ‘nasihat’ itu sebagai jalan untuk membalas dendam kepada seseorang.

Di bawah ini saya sertakan beberapa daripada Al Quran yang mana Allah telah lama mengingatkan manusia agar sentiasa memohon kepadaNya dan kembali kepadaNya jika berlaku perselisihan pendapat dan silap faham.

Doa Agar Difasihkan Lidah & Dilapangkan Dada untuk Berkomunikasi

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku. (Surah Taha ayat 25-28)

Amalkan ayat ini di permulaan ucapan untuk mendapat kekuatan menyampaikan hasrat hati kepada sesiapa sahaja terutamanya jika dipilih menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menyampaikan ucapan dan peringatan kepada masyarakat atau pekerja. Keterangan ayat ini boleh dirujuk daripada kisah Nabi Musa Alaihissalam.

Doa Memohon Ditambah Ilmu

Wahai Tuhanku! Tambahkan ilmuku. (Surah Taha ayat 114)

Ayat ini tidak terbatas untuk orang yang menuntut ilmu secara formal (menuntut ilmu sebenarnya selagi hidup bernafas takkan berakhir) malahan untuk orang yang sedang berkomunikasi dan berinteraksi. Sebab apa? Sebab mereka terkadang sukar menyampaikan idea dalam perkataan yang mudah, maka eloklah ayat ini dibaca untuk memohon dipermudahkan penyampaian maklumat. Doa ini juga disarankan untuk mengelakkan silap dan salah faham dalam hubungan suami isteri, kawan-kawan dan jug adalam perdebatan. Menurut At Tibi, ayat ini diturunkan agar Ar Rasul SAW fokus terhadap makna sebenar dari ayat-ayat Allah diturunkan kepada baginda dalam penurunan Al Quran sesuai dengan keadaan semasa. Wallahualam, Allah jua yang lebih mengetahui.

Doa Memohon Dijauhkan Angkara Kezaliman

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah bagi kaum yang zalim. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu daripada angkara kaum yang kafir. (Surah Yunus ayat 85-86)

Thursday, May 27, 2010

DIA TARIK KITA MASUK NERAKA?

SUMBER: http://azzariyat.com


“Awak kena ajak kawan-kawan sedorm awak datang ke surau,tutup aurat dan baca quran. Bila di akhirat nanti,kalau dia masuk neraka dan awak masuk syurga,mereka akan pegang awak dan kata kepada Allah yang awak tak ajak mereka,awak tak dakwah mereka,awak biar mereka dalam kesesatan,lalu awak diheret dan akhirnya awak pun masuk ke dalam neraka bersama-sama dengan mereka,” ujar Akhi Haqi semasa di sekolah dulu.

“Dakwah itu wajib,awak berdosa kalau tak buat. Di akhirat nanti,manusia akan saling dakwa-mendakwa,sabit-mensabit sehingga awak yang masuk ke dalam syurga pun akan masuk ke dalam neraka. Baru saja sampai ke pintu syurga,kaki awak diheret dan ahli neraka kata kepada Allah bahawa awak tak pernah ajak mereka lakukan kebaikan di dunia dulu,”terang Akhir Azizul semasa di dalam liqa’.

Dari seawal tingkatan 1 lagi saya mendengar tazkirah yang menerangkan kawan-kawan serumah atau sebilik atau sesiapa sahaja yang hampir dengan kita mempunyai peluang atau hak untuk mendakwa kita di akhirat nanti. Lantas,saya terfikir,kalaulah mereka mempunyai hak untuk mendakwa kita di akhirat nanti,apakah maksud kita beramal selama ini kerana baik mana pun kita,kalau kita tidak berdakwah kita akan masuk ke dalam neraka jua.Tuntasnya,kita akan menanggung dosa yang dibuat oleh kawan-kawan yang rapat dengan kita jadi pahala banyak mana pun,kalau kawan kita ramai maka pahala itu sudah tiada maknanya.Kalau begini,bukankah Allah itu zalim?

Saya mencari dan terus mencari,apakah benar ada ayat quran atau hadis yang menerangkan keadaan sedemikian,apakah betul seseorang mempunyai hak untuk mendakwa orang lain di atas kesalahan mereka. Pencarian saya menemukan saya dengan keserasian agama Kristian dengan perkara ini.

Dalam agama Kristian,Jesus atau Nabi Isa menanggung kesalahan orang lain. Orang Kristian percaya bahawa dosa yang dibuat oleh Nabi Adam diperturunkan kepada generasi-generasi berikutnya sehinggalah Jesus disalib.Jesus disalib sebagai simbol bahawa segala dosa-dosa manusia selepasnya ditanggung olehnya dan bayi-bayi yang dilahirkan selepas Jesus Cry(peristiwa Jesus disalib) adalah suci daripada sebarang dosa.Maka,kalau betul agama Islam pun ada sesi tanggung-menanggung dosa,apakah sama Islam dengan Kristian?

Semasa menghafal ayat Al-Quran,saya akan melihat maksudnya dengan tujuan sedikit sebanyak dapat juga saya berbahasa Arab. Ketika sedang menghafal Surah Abasa,saya terbaca kisah Rasulullah dengan Ummu Maktum iaitu seorang tua yang buta. Dikisahkan bahawa ketika itu Rasulullah sedang berdakwah dengan pembesar-pembesar Quraisy,lalu Ummu Maktum pun datang dan meminta Rasulullah khabarkan kepadanya tentang Iman. Mungkin,Rasulullah merasakan inilah peluang terbesar untuk baginda mengajak pembesar-pembesar Quraisy memeluk Islam,lalu dipalingkan mukanya daripada Ummu Maktum dan baginda ditegur oleh Allah dengan nuzulnya(turunnya) surah Abasa.

[1]
Ia memasamkan muka dan berpaling,
[2]
Kerana ia didatangi orang buta.
[3]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! -
[4]
Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.
[5]
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),
[6]
Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
[7]
Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).

Saya bold dan italic-kan ayat 7 iaitu Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya. Saya terfikir,apakah ini jawapan yang selama ini saya cari,berdasarkan ayat ini dan apa yang saya faham,kita tidak akan dipertanggungjawabkan tentang dosa atau amalan orang lain.Maka,di akhirat nanti,kita tidak akan diheret ke dalam neraka oleh kawan-kawan kita yang malas solat,ponteng puasa atau membuka aurat.

Saya bimbang akan kefahaman ini datangnya dari Syaitan,jadi saya mencari peluang untuk bertanyakan orang Alim tentang maksud ayat 7 surah Abasa ini. Orang pertama yang saya jumpa adalah seorang Ustaz.

“Ustaz,saya ada baca surah Abasa dan ada ayat yang menerangkan bahawa Rasulullah tidak akan disalahkan oleh pembesar-pembesar Quraisy di akhirat kelak jika mereka dicampakkan ke dalam neraka. Apa yang saya faham, kita tidak akan disoal atau ditarik oleh kawan-kawankita di akhirat kelak jika kita tidak mengajak mereka menunaikan solat,betul ustaz?”

“Na’am,betul.”Balas Ustaz.

“Kalau begitu ustaz,macamana pula yang dikatakan oleh ramai pendakwah bahawa jika kita tidak mengajak rakan sebilik kita tunaikan solat,di akhirat nanti,bila kita nak masuk syurga,mereka akan tarik kita masuk neraka sekali dengan mereka sebab kita tidak ajak mereka buat kebaikan?”

“Oh,soalan yang bagus.Begini,memang betul apa yang enta baca dan faham daripada surah Abasa bahawa manusia tidak akan disoal tentang apa yang mereka tidak buat ketika di dunia dulu. Enta tidak akan disoal tentang apa yang ana buat dan ana pun tidak akan disoal tentang apa yang enta buat. Amalan manusia adalah untuk dirinya sendiri. Cuma,ada beberapa golongan yang boleh menarik atau mempunyai hak mendakwa enta di akhirat kelak berdasarkan ayat 6 Surah Tahrim,Wahai orang-orang yang beriman,peliharalah dirimu dan diri ahli keluarga mu daripada api neraka dan kalau lelaki,kita mesti jaga ibu kita,saudara perempuan kita,isteri kita dan anak perempuan kita. Mereka inilah yang mampu tarik kita ke neraka jika kita tidak berdakwah kepada mereka.Betul,roomate kita akan kata kepada Allah bahawa awak tidak berdakwah padanya tapi sekadar hujah baginya dan hujah ini lansung tidak mempu menarik kita ke dalam neraka cuma mungkin melambatkan proses kita untuk masuk Syurga Allah.”Terang Ustaz.

Itulah apa yang diterangkan oleh Ustaz namun saya masih tidak cukup yakin untuk berkongsi dengan anda semua,saya mengkaji apakah benar kita akan didakwa oleh ahli neraka jika kita tidak berdakwah kepada mereka.Alhamdulillah,semalam saya dan ahli-ahli usrah saya telah bermuqayyam di Sungai Congkak dan pada paginya,kami telah memanggil pakcik Roslan untuk memberi sedikit pengisian. Dalam tazkirahnya,pakcik telah menyatakan ayat-ayat yang hampir sama dengan pendakwah-pendakwah lain.

“Kita akan ditarik oleh kawan-kawan kita di akhirat esok..”

Semasa sesi soal jawab,saya tidak mengajukan soalan kepada pakcik kerana melalui muka mad’u-mad’u saya,terpancar wajah-wajah keletihan yang teramat. Jadi,saya tidak ingin memanjangkan lagi sesi tazkirah bersama pakcik dan bercadang untuk membincangkan perkara ini secara personal.Alhamdulillah,semasa balik ke TBP,saya menaiki kereta sama dengan pakcik dan saya memulakan bicara.

“Pakcik,di akhirat esok adakah kita akan disoalkan..”

“Em,setahu pakcik tiada satu ayat quran atau hadis pun yang menyatakan manusia ada hak untuk mendakwa orang lain di atas kesalahan mereka kecuali mereka yang ahli(terdekat) dengan kita. Kalau kawan baik sekalipun,dia tidak berhak untuk mendakwa kita atas kesalahan yang dia lakukan kerana dia bukan ahli dengan kita,dia bukan ahli keluarganya.Cuma,kenapa pendakwah selalu cakap kita akan ditarik oleh orang lain di akhirat nanti adalah supaya kita merasakan dakwah itu adalah sesuatu tanggungjawab. Bukankah ada hadis yang bermaksud jika kamu nampak kemungkaran maka cegahlah dengan kuasa,maka atas dasar itulah kita mempunyai hak untuk menegur kawan-kawan kita yang melakukan kemungkaran. Lagipun,bukankah ada ayat quran tentang mengapa masih diajak satu kaum yang akan terus melakukan kemungkaran dan ayat seterusnya mereka(pendakwah) menjawab supaya mampu dijadikan hujah di hadapan Allah kelak.Akhirat esok,bila Allah tanya kenapa kamu tak berdakwah pada si fulan bin si fulan,at least kita dapat jawab aku dah ajak ya Allah tapi dia taknak dengar. Tapi,setahu pakcik tiada lah ayat quran atau hadis yang menyatakan mereka mampu menarik kita ke dalam neraka bersama dengan mereka,cuma apa yang menjadi persoalannya ialah tanggungjawab. Tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Bukankah umat Islam ini bagaikan sebuah kapal,kalau 1 bocor 1 kapal akan tenggelam? Kita lihat kaum Nabi Lut,disebabkan gay di kalangan mereka,satu kaum dihapuskan,”terang pakcik.

Kesimpulannya,kita tidak akan ditarik ke dalam neraka oleh sesiapa pun kecuali ahli keluarga kita. Mereka berhak berhujah bahawa kita tidak melaksanakan tugas kita sebagai pendakwah tapi mereka tetap tidak berhak untuk menjadi sebab kita masuk ke dalam neraka. Namun,janganlah kerana artikel ini anda berhenti daripada berdakwah kerana merasakan diri anda telah lepas daripada ‘tarikan’ kawan-kawan anda kerana dakwah itu pada Umat Islam adalah satu kewajipan dan perkara wajib maksudnya buat dapat pahala,tidak buat dapat dosa,sama hukumnya dengan Solat Fardhu.Bukankah umat Islam itu bagaikan 1 kapal,jika 1 lubang sahaja bocor maka apa yang akan berlaku? Fikir-fikirkanlah wahai teman…


SUMBER: http://azzariyat.com

Friday, May 21, 2010

nota buat budak dakwah

Saya memilih berbicara tentang cinta walau mungkin pengalaman saya terhad dan pemerhatian serta pengetahuan saya terbatas, maka mungkin sedikit sahaja yang dapat saya kongsikan. Namun semoga pada yang sedikit itu Allah campakkan keberkatan, menambahkan pengeTAHUan, meningkatkan keMAMPUan dan menetapkan keMAHUan kita, memulakan kembara perubahan mencari jalan menuju Tuhan.


“jangan benci bilang cinta
jangan marah bilang sayang
jangan mendustai hati
bila engkau memang suka”

Jangan sesekali anda rasa muak berbicara soal cinta, kerana hakikatnya soal cinta ini yang mencorakkan sebahagian besar kehidupan remaja. Bahkan selaklah dada akhbar, statistik kelahiran anak luar nikah, lari dari rumah untuk menikah dengan teman lelaki, seks bebas dan pelbagai lagi adalah siri-siri gejala cinta.

Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila seketul daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah HATI’

Jadi jika anda keliru, mengapa azzariyat masih berbicara soal cinta, jawapannya kerana kita saling berkongsi cita-cita yang sama untuk mengubah manusia. Dan tiadalah sesiapa yang dapat mengubah seseorang yang lain melainkan orang itu mengubah apa yang ada dalam dirinya iaitu hati. Kerana biar berjuta perkara yang kita TAHU, biar berjuta keupayaan yang kita MAMPU, kita tidak akan tergerak untuk berubah kecuali selepas hati kita MAHU. Dan momentum perubahan yang besar hanya mampu dicetuskan oleh cinta.

Nikmat Syurga Yang Hilang Serinya

Cinta sesama manusia itu pertama sekali dicipta untuk Adam di syurga, dan nikmat itu diwarisi oleh anak cucu Adam di dunia. Jadi nikmatnya cinta ini tidak usah diragui, memang tidak terperi indahnya. Namun malangnya cinta kini makin hilang seri syurganya, lantaran para ‘pencinta’ makin hilang seri ‘penghuni syurganya’. Jadi cinta yang sepatutnya mengangkat wajah kita menyapa Cinta Ilahi, bahkan menjerut pula leher kita tersembam di kaki maksiat dan nafsu nafsi. Akibat gagal menguruskan cinta ini, maka lahirlah pelbagai siri gejala yang pelik-pelik sehingga manusia tergamak berbunuhan.

Seorang ibu membunuh anak luar nikahnya.

Seorang suami membunuh isterinya.

Seorang kekasih membunuh dirinya.

Murahnya harga sebuah kehidupan apabila cinta tidak dijalankan di landasan yang betul.

Dakwah

Maka mungkin kerana risau atau mungkin bosan dengan situasi sebegini terdetik keinginan bagi sesetengah pihak untuk berbuat sesuatu. Atas kesedaran untuk merubah suasana menjadi lebih baik, merubah dunia menjadi lebih cantik, lahirlah sekumpulan manusia yang tega berdakwah, merasa terpanggil untuk mengajar manusia menguruskan cinta.

“abang macam mana saya nak tegur kawan tentang isu couple ni ya?”

Kebelakangan ini kami banyak menerima soalan-soalan sebegini. Semestinya kami gembira kerana sekurang-kurangnya pelajar-pelajar semakin meningkat keinginan untuk saling menegur serta sudi meluangkan masa berfikir tentang masalah umat. Namun kadang kala, cara kita menterjemahkan perasaan kita untuk mengubah manusia itu, sedikit meresahkan dan menyesakkan dada kami.

“isy tak tahu ke couple tu haram? Nak sangat ke masuk neraka, hah nanti berdating la puas-puas kat neraka tu ya!” seorang daie berjalan puas setelah ‘menasihati’ sepasang couple.

“salam… tadi akak nampak, duduk berdua dengan lelaki kat taman. Dah banyak sangat ke pahala, dah confirm masuk syurga? Dah teringin sangat masuk neraka” sms seorang senior kepada juniornya.

“budak macam ni dah tak boleh buat apa dah, kita ‘brainwash’ kepala otak dia sikit baru dia sedar”

Jika kita sekadar ingin memuaskan hati sendiri dengan menghamburkan kemarahan kepada pasangan-pasangan yang bercinta ini, silakan. Jika kita hanya ingin melunaskan tanggungjawab menyampaikan walau satu ayat dari Nabi, maka silakan. Kerahlah bala tentera kita dari golongan budak surau, budak dakwah dan sekalian yang ada, seranglah mereka secara semuka atau sindir di belakang, keras atau berlapik. Maka lepaslah tanggungjawab anda, hidayah kan milik Allah, mereka nak terima atau tak itu antara mereka dengan Allah. Tugas anda dah selesai.

Begitukah cara kerja yang diajar nabi?

Ubah Kemungkaran

Kita tidak khilaf isu kewajipan mencegah kemungkaran, namun jangan lupa syarat mencegah kemungkaran mestilah tidak mencetuskan kemungkaran yang lebih besar. Adakah dengan kasar bahasa dan segala maki hamun yang anda hamburkan mampu mengubah mereka ke arah kesedaran atau menjauhkan mereka dari kebenaran?

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Ayat ini menjadi dalil bagi setiap yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangan, lidah atau hati mengikut kapasiti masing-masing.

Kamu diminta mengubah kemungkaran bukan sekadar mencegah atau menegah. Maka apabila usaha mengubah yang dipersoalkan perlu kita berfikir masak-masak setiap tindakan yang dilakukan itu mampukah mengubah kemungkaran? Lebih penting lagi perubahan itu ke arah makruf atau kemungkaran yang lebih besar?

Ubah Dengan Hati

Mengubah dengan hati bukanlah perkara paling rendah tarafnya atau paling remeh lantas diletakkan sebagai indikator serendah-rendah iman. Bahkan hatilah perkara paling asas (foundation) yang dengan tanpanya maka tiadalah iman. Dengan asas hati ini kita menguruskan lisan dan tangan (kekuasaan).

Justeru sebelum keluar berdakwah mengubah manusia, periksa dulu di dalam hati, sudah diluruskan niat atau belum. Adakah kita keluar berdakwah kerana benci atau cinta? Sudahkah ditanamkan rasa sayang kepada rakan seagama sebelum kita tega menghamburkan kata-kata bahkan mungkin nista dan hina?

Amat malang bagi mereka yang memakai lencana dai’e tapi berdakwah tanpa sifat empati. Amat malang bagi mereka yang menuntut perubahan dari mungkar kepada makruf, boleh berlaku sekejapan, sekelip mata. Amat malang bagi yang berfikir kekerasan dan ketegasan adalah cara Islam mendepani maksiat dan kerosakan.

Mari Belajar Dari Umar

Ketika anakanda khalifah Umar Abdul Aziz bertanya kepada ayahnya, “wahai ayahanda, mengapa ayahanda tidak segera menghapuskan kezaliman yang sedang berlaku?”. Khalifah menjawab, “Jangan terlalu tergesa-gesa wahai anakanda, sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengkeji khamar (arak) sebanyak dua kali, dan pada kali yang ketiganya barulah diharamkan. Sesungguhnya daku khuatir apabila daku paksakan mereka untuk menerima perkara yang hak secara serta-merta, maka sebaliknya mereka akan meninggalkannya, maka akan timbullah fitnah yang lebih besar lagi…”

Bukankah Allah itu Al-Halim (maha penyantun), maka bagaimana pula kita sebagai hamba tidak sudi belajar dari sifat-Nya yang mulia, yang tidak serta-merta mengharamkan arak yang ketika itu menjadi minuman kebiasaan malah utama masyarakat arab?

Belajar Dari Nabi

Menurut hadis yang dilaporkan oleh Ibnu al-Mubarak, “Apabila engkau hendak mengerjakan sesuatu, fikirkanlah akibatnya, apabila akibatnya baik kerjakanlah, apabila akibatnya buruk tinggalkanlah”

Wahai budak-budak dakwah, sebelum lisanmu tega berkata-kata, sebelum tanganmu tangkas menghayun senjata, fikirkanlah akibat perbuatanmu. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pertamanya suburkanlah dahulu cinta dalam hatimu.

Rasullulah berdepan dengan pelbagai kerenah manusia dalam siri dakwahnya.

Ada Arab Badwi yang kencing dalam masjid.

Ada yang memohon untuk merompak.

Bagaimana Rasullullah menanggapi semua ini dengan penuh berhikmah? Baginda tidak sewenang-wenangnya menggunakan statusnya sebagai nabi dan membentangkan berjela-jela nas-nas al-Quran dan mengakhirinya dengan “Haram! Kamu tak ikut cakap aku, masuk neraka!!!”

Kisah seorang pemuda yang datang bertemu Rasullullah untuk memohon keizinan untuk berzina boleh kita jadikan iktibar. Pemuda ini dibawa mendekati Rasullullah,

“Wahai pemuda,” sapa Nabi SAW. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Nabi mengakhiri nasihatnya dengan DOA!!

Berapa ramai di antara kita yang lantang menegur kemungkaran mendoakan orang yang didakwahkan? Malah kalau dimuhasabahkan, kita hari ini lebih banyak mendoakan neraka daripada mendoakan dia masuk syurga.

Maka nilai kembali mengapa kita berdakwah tentang cinta.

Adakah untuk melunaskan kebencian, rasa meluat terhadap pasangan-pasangan yang berpeleseran di taman? Atau kerana kasih dan sayang untuk membawa mereka bersama-sama meniti jalan ke syurga?

Wahai para dai’e yang saya cintai,

Bukanlah seruan saya untuk anda menutup mulut, mata dan telinga daripada maksiat yang berlaku di depan mata. Bahkan bukan pula seruan saya untuk anda tidak berbuat apa-apa.

Namun seruan saya adalah pada mengikhlaskan niat, untuk mengubah manusia kembali kepada Tuhan. Maka sebelum hati mereka dihubungkan kepada Tuhan, hubungkanlah hati anda dengan mereka dahulu.

Ya dakwah secara berhkmah itu pelbagai, pesan yang tegas dan nasihat yang keras itu juga boleh jadi berhikmah. Namun sudahkah dicuba segala jalan yang lembut menyantuni sebelum kita memilih jalan yang keras menghukumi?

“If I had My Child to Raise Over Again”
By Diane Lemons
(From Chicken Soup for the Soul)

If I had my child to raise all over again :
I’d build self-esteem first, and the house later.
I’d finger-paint more, and point the finger less.
I would do less correcting and more connecting.
I’d take my eyes off my watch, and watch with my eyes.

I would care to know less and know to care more.
I’d take more hikes and fly more kites.
I’d stop playing serious and seriously play.
I would run through more fields & gaze at more stars.

I would do less correcting and more connecting.

Saya akan kurang membetulkan dan banyak menghubungkan.

Beli Cinta dengan Cinta

Jika cinta di dalam hati anda, seorang manusia di depan mata yang tampak jasadnya, pun tak dapat dilihat oleh manusia, maka bagaimana manusia itu hendak dibawa melihat Cinta Allah yang tak ternampak dek mata?

Milikilah sedikit nilai empati. Ketika mereka yang sedang bercinta, merasa cukup bahagia dan tenang kerana ada teman untuk berkongsi rasa dan mereka rasa bagai berada di syurga dunia.

Tiba-tiba anda datang membawa gambaran sebuah neraka dengan wajah sebengis Malaikat Zabaniah, dan anda minta mereka mengikut seruan anda. Renung-renungkan!

Belilah cinta mereka dengan cinta. Jangan pernah membenci cinta apatah lagi membenci pencinta.

Setelah berikhtiar panjatkanlah doa kepada Allah, kerana hidayah bukan milik kita.

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu) [al-Ghasyiyyah 88: 21-22]

Saya akhiri dengan satu hadis untuk renungan semua.

Diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari r.a berkata : Ada seorang lelaki berkata kepada Rasullullah; Saya sengaja datang terlambat untuk melaksanakan solat subuh kerana si fulan (imam) selalu sangat memperpanjang bacaan (surahnya). Abu Mas’ud berkata lagi : Saya tidak pernah melihat Rasullullah s.a.w berkata dalam keadaan yang sangat marah, selain daripada hari itu ketika baginda menyampaikan nasihatnya seraya berkata : “Sesungguhnya ada di kalangan kamu orang yang menyebabkan orang ramai lari meninggalkan ajaran Islam;

"sesiapa sahaja di antara kamu menjadi imam dalam solat, maka hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana di antara mereka ada yang lemah, berumur tua dan mereka yang mempunyai hajat dan keperluan lain.”

Perhatikanlah ucapan (lisan) dan tindakan (tangan) anda.

Kalau tak dapat membawa mereka mendekati Allah sekalipun, jangan dibawa mereka makin lari dari Allah.

Wallahualam.

Monday, May 10, 2010

DAN AKU TERUS MENCARI...

Puas sudah,

Kucari kebahagian,

Di sisi teman-teman,

Kudapat hanya kelalaian,

Ku cari lagi,

Di hati seorang kekasih,

Kudapat hanya kekecewaan,

Dan ku terus mencari,

Dalam meniti hari,

Penuh kekosongan…

Oh, di mana lagi harus ku mencari,

Membawa sekeping hati,

Yang sarat kerinduan,

Rindu yang tiada haluan,

Aku keliru sendiri,

Apa yang kucari,

Apa yang kuperlukan

Aku masih tak bisa mengerti,

Yang pasti,

Kekosongan hati ini minta diisi..

Sejenak ku tersedar,

Aku mencari cinta agung,

Buat jiwaku yang merindukan,

Hakikat kebenaran,

Cahaya yang membelah kegelapan,

Melimpah cemerlang mengisi kekosongan.

Ku sedar,

Destinasi pencarianku di sini,

Ku mencari-Mu Tuhan,

Mengharap keredhaan,

Menagih kebahagiaan,

Dari sinar cahaya iman

Monday, May 3, 2010

cerpen

Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?

Teringat aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.

Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.

Lebih pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras suaranya.

Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.

Aku beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.

“Dah pukul berapa kak?”

“Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.

Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.

Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…

Aku rasa Shahrul terlena sewaktu membaca kerana ada sebuah buku di kusyen panjang tempat tidurnya tadi. Masih cantik sifat-sifat buku itu, mungkin baru dibeli. Kucuba membaca tajuknya… Perjuangan Wali Songo di Indonesia. Masyaallah, Shahrul boleh tertidur membaca buku tersebut? Aku yakin si Shahrul ni tak pernah baca buku-buku agama pun. Yang diminatinya tak lain itulah… majalah sukan, komik dan hiburan. Seribu satu macam pertanyaan berlegar dalam kepalaku.

Memang pernah ayah dan adik-adik bangun atau berjaga malam… untuk menonton perlawanan bola sepak. Tetapi kali ini mereka bangun untuk beribadah!

Sudah lebih lima tahun aku berusaha untuk menghidupkan roh Islam di rumah ini namun kejayaannya cuma secubit. Keluargaku tidak menunjukkan minat untuk membudayakan Islam dalam rumah kami. Kalau ayah dan ibu sendiri menentang, bagaimana dengan adik-adik? Kak Long Tikah dan Kak Ngah Ilah masing-masing telah berumahtangga, jadi… tak kisahlah. Namun ada keganjilan yang sukar kutafsir tika ini sedang berlaku di dalam rumah.

Selepas solat tahajjud aku terus berbaring. Lesu akibat perjalanan jauh masih terasa. Maklumlah, baru tengah malam semalam tiba dari Kota Jakarta, tempat kubekerja sebaik-baik sahaja lulus dari universiti.

Aku terjaga sekali lagi apabila deruman enjin motosikal menerjah gegendang telingaku. Kalau tak silap itu bunyi motosikal ayah. Motosikal mula bergerak lalu menuju ke jalan besar. Menurut di belakang adalah bunyi kayuhan basikal. Makin lama makin jauh.

“Ada… ooo Ada,” laung ibu sambil mengetuk pintu bilik.

“Ya mak,” sahut ku lemah.

“Bangun solat Subuh ye nak.”

“Ha’ah,” aku patuh.

“Mak… ayah pergi mana?” soalku ingin tahu.

“Ke surau dengan adik-adik… berjemaah.”

Alangkah indahnya suasana fajar kali ini. Inilah suasana waktu fajar yang telah lama kuimpikan. Selama beberapa tahun aku merindukan suasana ini… rindu pada kedamaian, rindu pada ketenangan, rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan hidup berbudayakan roh Islam. Dulu, subuh-subuh begini hanya ada aku seorang… bersama Kekasih, kini sudah ramai… juga bersama Kekasih. Terasa rumahku yang selama ini suram mula bercahaya… telah ada jiwa…

@@@

Aku menolong ibu menyediakan sarapan di dapur. Rezeki kami pada hari itu adalah cempedak goreng. Ayah masih di bilik. Menurut ibu, ayah akan terus berzikir sehingga terbit matahari pada hari-hari cuti. Tidak ada seorangpun ahli keluarga yang berbaring atau tidur. Semua ada aktiviti masing-masing selepas solat Subuh. Bukankah tidur selepas Subuh itu membawa kemiskinan, penyakit, malas dan lain-lain kesan negatif?

Shahrul dan Najib berada di bahagian belakang rumah yang sememangnya agak luas. Pada mulanya aku berasa janggal melihat mereka bersiap-siap. Apabila kutanya jawab mereka “nak riadah, ayah suruh”. Bukankah sebelum ini mereka kaki tidur nombor satu? Kalau hari cuti, dah tentu pukul sepuluh ke atas baru bangun. Lepas bangun menonton televisyen. Tengah hari baru mandi. Sekarang sudah berbeza benar.

Sesekali aku menjenguk mereka melalui tingkap dapur. Kalau tadinya mereka terkejar-kejar berlari anak keliling rumah, kini mereka berkuntau pula. Memang budak-budak berdua ni aktif dalam persatuan silat di sekolah, tapi tak pernah pula mereka berlatih pada waktu pagi. Bergomol dan berkunci-kuncian sampai basah kena air embun di rumput. Ini rupanya riadah mereka. Eloklah… memang digalakkan Islam.

Pagi itu kami menghadap sarapan secara berjemaah, semua ada. Ayah sendiri yang membaca doa beserta maksudnya sekali. Amboi, hebat juga ayah kami ni! Aku mengingatkan adik-adik supaya selalu menyebut nama Allah di dalam hati sepanjang masa makan. Mak dan ayah mengiyakan kata-kataku itu. Seronok rasanya mendapat sokongan mak dan ayah. Sebelum ini kalau aku menegur adik-adik tentang agama, cepat benar muka mereka berubah. Namun Allah Yang Maha Merancang bisa mengubah segalanya. Syukur.

Ayah ke pasar bersama Shahrul sementara Najib pergi ke rumah kawannya Hafiz untuk meminjamkan kaset kumpulan nasyid Raihan dan Diwani. Peluang ini kuambil untuk mengorek cerita daripada ibu.

“Mak, Ada rasa seronok balik kali ini.”

“Iyelah, dah dekat setahun Ada tak balik… tentulah seronok,” balas ibu sambil tersenyum.

“Ada rasa kan mak, rumah kita ni dah ada roh… tak macam dulu…”

Ibu tidak terus menjawab apa-apa. Dia menarik nafas panjang. Kepalanya didongakkan ke dinding, menatap sebuah lukisan pemandangan yang cantik hadiah daripada menantunya Zamri, suami Kak Long. Lukisan itu adalah hasil tangan Abang Zamri sendiri

“Ini semua kerja Allah Ada. Mak sedar Ada sentiasa cuba merubah cara hidup keluarga kita… supaya kita berpegang dengan budaya Islam. Kami pandang remeh aje segala saranan dan teguran Ada.”

Ibu mengalihkan pandangannya ke arahku. “Itulah… kalau Allah nak ubah, siapapun tak sangka.”

“Apa dah jadi Mak?” soalku lebih serius.

“Abang Zamri Ada tu le… bukan sebarangan orang. Dalam diam-diam dia mendakwahkan budaya hidup Islam kat kita. Memanglah mulanya tu kami buat tak tahu… dia berjemaah ke surau ke, dia baca Quran ke, berzikir ke, cara dia berpakaian ke, apa ke di rumah kita ni.”

Memang kuakui Abang Zamri lain daripada yang lain. Sejak mula berkahwin dengan Kak Long lagi jelas perawakannya yang mulia. Gerak lakunya sopan. Tidak pernah meninggi diri.Tidak bergurau berlebih-lebihan. Hormat kepada orang tua. Mengasihi adik-adik. Kalau berbicara dengannya, dia tidak pernah lari daripada berbicara tentang Islam. Dia seolah-olah tidak terpengaruh dengan keseronokan dunia. Tidak ada perkara lain yang dicintainya selain daripada berjuang untuk Islam.

Abang Zamri jarang sangat pernah bercerita tentang kereta mewah, rumah besar, duit banyak, pangkat tinggi, perempuan cantik, muzik, filem, bolasepak, para artis, pakaian cantik dan lain-lain sedangkan semua itu diperkatakan sehari-hari dalam keluarga kami. Sememangnya dia ada kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Entahlah apa yang telah dibuatnya hingga keluarga kami berubah. Ingin kutanya pada ibu tapi… tunggulah nanti, apabila ada masa yang sesuai, insyaallah.

@@@

“Mak, Ayah, Shahrul dan Najib pergi ke rumah mak mertua Kak Long Ada… rumah keluarga Abang Zamri…”

“Mak ke Terengganu?” soalku.

“Iye, cuti penggal sekolah hari tukan Ada tak balik… kami pergi le ziarah besan kami.”

“Habis tu… apa yang jadi?”

Ibu terus bercerita dengan anjang lebar sambil kami melipat kain baju. Menurut ibu, keluarga Abang Zamri bukanlah orang senang. Adik-beradiknya seramai sembilan orang. Namun corak kehidupan mereka sungguh aman bahagia dan tenang Banyak perkara baru yang ibu dan ayah pelajari selama lima hari berada di sana.

Waktu tiba di kampung halaman Abang Zamri, keluarga kami disambut meriah dan penuh hormat. Gembira sungguh mereka menerima tetamu. Masing-masing dengan wajah ceria dan menampakkan ketenangan. Adik-adik Abang Zamri semua mencium tangan ibu dan ayah sementara Shahrul dan Najib dipeluk seolah-olah kawan lama. Ayah dan ibu agak terkejut dengan situasi tersebut kerana sebelum ini anak-anak sendiri pun susah nak cium tangan.

Rumah mereka bersih walaupun tidak mewah. Begitu juga dengan halamannya yang terjaga. Irama nasyid, bacaan al Quran, zikir munajat dan ceramah agama silih berganti kedengaran daripada radio kaset mereka. kalau di rumah kami tu, dari padi sampai ke malam dipenuhi dengan lagu-lagu artis tempatan dan luar negara.

Waktu Subuh sangat indah di sana. Sejak jam empat pagi lagi rumah itu telah dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat. Ada yang bertilawah, ada yang berzikir, ada yang solat dan sebagainya. Kemudian, yang lelakinya beramai-ramai solat fardhu Subh berjemaah ke masjid. Oleh kerana malu-malu alah, Ayah pun terpaksalah bangun dan pergi ke masjid sekali.

Dari awal pagi lagi keluarga Abang Zamri yang lelakinya turun ke pantai yang nampak dari rumah mereka. Mereka duduk mengelilingi Pak Luqman, bapa kepada Abang Zamri untuk mendengar tazkirah pendek. Kemudian adik-adik Abang Zamri yang kecil berlari-lari anak dalam satu barisan sepanjang pantai. Abang Zamri dan bapanya pula membasahkan tubuh dengan air embun yang diambil daripada pokok-pokok kayu. Tujuannya untuk menjaga kekuatan badan. Ayah hanya tersengih apabila dipelawa oleh Pakcik Luqman. Begitulah rutinnya setiap pagi selama ayah dan ibu berada di sana.

Waktu bersarapan tiba. Semua isi rumah ada, tidaklah seperti rumah kami- sarapan sendiri-sendiri. Mereka menghadap makanan dengan wajah yang manis, dimulakan dengan doa. Alangkah mesranya hubungan sesama mereka. Terasa suatu perasaan tenang yang sukar digambarkan. Sepanjnag masa makan, mereka banyak berbucara tentang kebesaran Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ayah dan ibu terpaksa bermuka-muka kerana tak tahu apa yang nak dicakapkan. Nak menyampuk… takut tak kena pula jalannya.

Selepas mengemaskan rumah secara bergotong-royong, adik-adik Abang Zamri berkumpul di serambi rumah. Mereka disertai oleh dua tiga orang anak-anak jiran. Rupanya mereka berlatih nasyid, siap dengan genderangnya sekali. Mereka mendendangkan lagu-lagu nasyid popular dan juga lagu ciptaan mereka sendiri. Sura mereka yang berharmoni indah bergema sampailah ke tengah hari. Kata emak Abang Zamri, kumpulan nasyid budah-budak itu sering menerima jemputan di sekitar daerah. Selama lima hari di sana, ibu sudah jatuh cinta dengan irama nasyid. Boleh dikatakan setiap album nasyid terbaru mesti dibelinya selepas itu. Dulu, ibu bukan main lagi… dengan karaoke dangdutnya yang terdengar sampai ke tengahjalan. Tentu ibu malu kalau terkenangkannya.

Kononnya hubungan Pakcik Luqman dengan isterinya sangat baik… macam baru berkahwin. Mereka selalu tersenyum dan bergurau, malah nampak malu-malu walaupun sudah tua. Kalau duduk tu… mesti nak rapat-rapat. Isterinya pun bukan main taat lagi kepada suami. Mungkin inilah yang membuatkan ibu dan ayah terasa sangat. Al maklumlah, mereka di rumah memang tak ampak mesra. Bergurau jarang, bertegang leher selalu. Benda kecil pun nak bertekak. Ayah balik dari luar pun tak pernah ibu sambut. Masing-masing dengan hal sendiri. Berbincang hal agama… jauh sekali.

Pelbagai pengalaman baru yang ibu dan ayah dapat di Terengganu. Agaknya mereka telah menemui formula keluarga bahagia… dan mahu mempraktikkannya dalam keluarga kami. Alangkah indahnya keluargaku kini…alangkah sayangnya Allah kepada keluargaku…aku bersyukur kepada-Mu ya Allah.

“Eh, Ada dengar ke apa yang Mak ceritakan ni?” soal ibu apabila melihat aku tersenyum mengelamun.

“Eh… mmm…dengar Mak”, jawabku serba salah.

“Mak sebenarnya berkenan pulak dengan sepupu Abang Zamri di terengganu yang ama Shahrul tu…”

“Alah mak ni… nak cerita pasal kahwin le tu”, cetusku lalu segera beredar ke dapur.

Kesilapan Menutup Aurat

Inilah Yang Kerap Kita Lihat, Adakah Nabi SAW Tersenyum Melihat   Wanita Yang Mengaku Ummatnya Menutup Aurat Sebegini?

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :

Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR.” (an-Nur: 31)

KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.

Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : “Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.” (al-Ahzab: 32)


Artikal dari : http://www.zaharuddin.net/content/view/288/99/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails