Thursday, April 9, 2009

DAKWAH BERKESAN JIKA FAHAMI JIWA REMAJA


DULU pernah berdiri seorang pemuda berumur 25 tahun yang gagah berani meredah samudera Atlantik sambil mengangkat panji Islam yang dijunjung tinggi sambil berseru:

Demi Allah SWT, jika aku mengetahui bahawa di seberang lautan ini ada daratan, nescaya akanku harungi dengan kudaku atas nama Lailahaillah.

Akhirnya Afrika jatuh ke tangan pemuda itu. Dialah Panglima ulung, Uqbah bin Nafi. Tapi kini, berdiri seorang pemuda cukup berani, menjelajah sepanjang jalan di kegelapan malam, bangga menjadi seorang lelaki yang tidak takut mati.

Demi gemuruh tepukan dan sorakan teman yang tidak siuman dan pembebasan diri daripada tekanan kehidupan. Dia berhasil menjadi raja jalanan dengan enjin kuda canggih yang boleh menerbangkan nyawa seketika.

Lelaki itu bangga berasa diri hebat tetapi tidak tahu untuk apa kebanggaan itu. Dan sampai bila akan berakhir kepalsuannya. Sampai bila kepuasan itu boleh mengubat hatinya. Pemuda yang merempit semakin ditohmah dan dikeji, mereka semakin berani, siapakah yang boleh memahami jiwa pemberontak ini?

Sebahagian yang lain masih bersekolah dan terbabit pula dengan gangsterisme dan vandalisme. Mengapa ibu bapa, guru, dan kita sendiri sebagai anggota masyarakat tidak mampu membimbing dan mendidik mereka? Di mana silapnya?

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan pemuda yang keras dan ganas seperti Umar. Bahkan pemuda itu pernah berjanji akan membunuhnya. Dengan apakah Nabi SAW menakluki hati sekeras karang milik Umar?

Dan sudah terbukti pemuda berani bangsa Quraisy yang ditakuti akhirnya bertekuk lutut di hadapan Baginda SAW. Apakah rahsia yang tersimpan dalam dakwah dan bimbingan Rasulullah SAW kepada setiap pemuda itu?

Pendekatan psikologi amat diperlukan oleh orang yang gagal dalam hidup. Mereka mengharap bimbingan bukan tohmahan. Bimbingan terbaik adalah melalui penaklukan hati dan perasaan. Pepatah mengatakan, Sesiapa yang mahu menakluk seseorang maka kuasailah hatinya.

Pemuda bermasalah ini mahu melihat kita dengan wajah yang ramah dan mesra. Wajah yang apabila dipandang mengingatkan mereka kepada Allah Taala. Tiada sedikitpun iras kebencian yang dipamerkan. Sikap mahu bersahabat dan prihatin perlu ditonjolkan.

Mereka sebenarnya dalam keadaan tenat, kehilangan arah dan tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkan diri daripada kancah kejahatan. Jika orang yang berada di sisi mereka hanya mahu menghukum dan mengeji saja, mustahil mereka boleh bangkit melainkan dengan ketentuan Allah SWT.

Mengapa agama menjadi pilihan yang tidak begitu diminati generasi muda masa kini? Apakah kerana gaya persembahan dakwah yang kurang sesuai dengan kecenderungan pemuda-pemudi kita? Tidak salah jika nilai ajaran agama diserap melalui filem, drama, muzik atau bahan bacaan berunsur hiburan.

Pendekatan dakwah yang fleksibel akan menarik minat remaja. Bukankah Rasul SAW pernah berwasiat kepada seorang sahabatnya ketika mahu menyampaikan Islam: Permudahkanlah jangan menyusahkan.

Masalahnya, kini generasi muda mengenal Islam dengan cara ditakut-takutkan yang ini haram, yang itu haram.

Penulis ialah pendakwah dari Negeri Sarawak, boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails