Saturday, July 3, 2010

BENTENG HINDARI ZINA

TIDAK lama dulu kajian sebuah syarikat pengeluar kondom mengkategorikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah di kalangan remaja dengan purata 62 kali setahun pada 2003 dan 86 kali setahun pada 2004, berbanding Jepun 37 kali setahun pada 2001 (Majalah Milenia, Jamadil Akhir-Rejab 1431H).

Terkini, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipaparkan dalam Mingguan Malaysia 20 Jun 2010, berkaitan 300 remaja Melayu berusia 13 hingga 25 tahun terlibat dengan salah laku seksual dan seks bebas . Laporan itu membuatkan saya cukup bimbang dan risau tentang nasib umat Islam khususnya di Malaysia. Saya tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan sistem pembelajaran hari ini yang saban tahun mencatatkan keputusan peperiksaan yang meningkat. Apa yang telah berlaku pada struktur kekeluargaan kita pada hari ini, ketika kita tidak pernah lekang dengan pelancaran demi pelancaran dalam kempen keluarga bahagia, keluarga sakinah dan sebagainya. Tiba-tiba satu kajian mendapati 300 anak Melayu terlibat dalam salah laku seks. Saya tegaskan, inilah masa untuk kita bermuhasabah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan 81,000 anak luar nikah didaftarkan. Manakala di ruangan Pendapat Utusan Malaysia, seorang penulis menyatakan frasa Melayu seks sahaja sudah ada 1.1 juta maklumat di Google, 'Melayu seks sekolah' pula berjumlah 2.69 juta. Ketika mana Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia pula menyatakan 55 peratus rakyat Malaysia ketagih Internet. (Utusan Malaysia 30 Jun 2010 )

Fakta-fakta tersebut sememang sudah cukup untuk kita memulakan langkah serta-merta bagi kita mengatasi masalah ini. Saya mohon kepada semua pihak terutama kerajaan dapat mengatur langkah serius dalam menangani kebejatan akhlak.

Larangan zina

Di dalam al-Quran larangan zina datang dalam bentuk sighah al-Nahyu iaitu dalam bentuk larangan untuk mendekatinya seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Isra : 32 ; dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Menariknya ayat ini datang dengan kalimah la taqrabu yang bermaksud 'jangan mendekati'. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa dari ayat ini Allah SWT bermaksud bukan sekadar menegah manusia melakukan zina, bahkan mendekatinya mahupun menganjurkan sesuatu yang menyeru kepada perbuatan zina ini.

Manusia fitrahnya dihiasi dengan nafsu seks. Namun naluri seks serta hambatan nafsu merupakan satu yang amat sukar dikawal, seolah diibaratkan manusia yang kelaparan kemudian dihidangkan makanan. Ia sukar untuk ditolak sama ada ia halal atau haram, kecuali manusia itu mempunyai ketahanan iman yang cukup tebal untuk mempertimbangkannya. Oleh kerana itulah Allah SWT Yang Maha Mengetahui telah mengatur kehidupan manusia ini, agar kita jangan cuba-cuba mendekati zina. Sekali mendekatinya, belum tentu kita berjaya menghindarinya. Banyak cerita dalam sejarah yang menceritakan kehancuran manusia yang rajin beribadat namun akhirnya hancur dengan tipu daya iblis dengan melakukan zina.

Ini bermakna kalimah la taqrabu di dalam surah al-Isra itu telah memberikan panduan untuk kita dalam menjauhi zina, iaitu:

1. Jangan sesekali mendekati zina, kerana biasanya manusia akan tewas dengan desakan nafsu seks.

2. Jangan membiarkan diri terdedah kepada suasana zina seperti berdua-duaan, mendedahkan aurat, melihat video lucah dan sebagainya.

3. Jangan mengadakan majlis atau sesuatu yang boleh mendorong perbuatan zina seperti parti sosial, kelab malam dan sebagainya.

Namun hakikat yang dapat kita katakan bahawa suasana hari ini, sememangnya mendorong kepada zina. Lihat saja di sekeliling kita, remaja bebas berpeleseran dengan pasangan masing-masing di taman dan pasar raya, poster atau gambar wanita bukan sekadar mendedahkan aurat malah dalam keadaan menggiurkan tujuan mengiklankan barang-barang yang tiada kena mengena pun dengan wanita. Filem lucah sangat mudah didapati apatah lagi hari ini ia semakin mudah dimuat turun dari Internet dan kemudian disebarkan melalui telefon bimbit dan pelbagai lagi. Inilah suasana yang mewarnai trend pemikiran masyarakat terutamanya remaja kita.

Saya berpendapat, sudah masanya kita bertegas dalam hal ini. Kita patut menyelesaikan akar permasalahan bukan sekadar pucuknya saja. Contohnya gubal satu undang-undang yang lebih menyeluruh bukan sekadar enakmen jenayah syariah bagi mengawal masalah remaja berpasangan bebas . Dari sudut pengiklanan pula kenapa kita tidak boleh bertegas dengan syarat-syarat tidak mengeksplotasi wanita sebagaidaya tarikan yang jelas merendahkan kedudukan wanita, jika dalam masa yang sama kita boleh mengenakan syarat-syarat lain. Begitu juga beberapa laman web yang sudah terbukti membawa kemudaratan lebih besar daripada manfaatnya seperti facebook dan YouTube yang sepatutnya dikawal atau diharamkan terus di negara ini.

Pembelajaran Islam

Hasil kajian UPM itu juga menyatakan bahawa mereka yang terlibat ini, mempunyai latarbelakang pembelajaran tentang asas-asas agama yang cukup. Bercakap tentang soal pembelajaran pula, kita telah lama menekankan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di sekolah. Namun saya bersetuju dengan tulisan Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (Mencari roh pendidikan, Utusan: 30 Julai 2010 ) yang menyatakan pendidikan hari ini sememangnya nazak kalaupun sudah kaku akibat kekosongan nilai manusia dan kemanusiaan yang diumpamakan dengan kehilangan roh. Proses pembelajaran diukur berdasarkan jumlah A ataupun CGPA di peringkat universiti. Adakah sistem pembelajaran sekadar proses pemindahan maklumat daripada guru kepada murid sehingga mereka mencari jalan mudah bagi mendapat keputusan cemerlang. Ada pelajar yang bersungguh-sungguh menghafal dan membuat peta minda agar mudah faham. Namun akhirnya segala itu dicurah dan ditinggalkan dalam kertas-kertas jawapan peperiksaan atau buku-buku teks.

Sedangkan agama perlu menjalani proses pendidikan yang berterusan dalam segenap masa dan ketika hingga ilmu itu benar-benar dapat melahirkan manusia yang ihsan, iaitu manusia yang dapat menghayati ajaran agama dan merasai tanggungjawabnya terhadap Allah SWT. Kerana itu saya sebutkan pada awalnya tadi, apa yang tersirat di sebalik kenaikan graf kecemerlangan para pelajar dalam peperiksaan tetapi graf akhlaknya merudum jatuh. Bukan niat saya untuk menyalahkan pihak pendidik namun satu kajian dan tindakan perlu dijalankan oleh kementerian berkenaan bagi mengatasi masalah ini.

Cadangan pembelajaran seks di sekolah pula patut diteliti dengan betul dan tepat. Di mana penekanan berkaitan agama diberi penekanan. Jika silap langkah, pendidikan seks yang mendedahkan teori akan mendorong mereka melakukan zina setelah memperolehi maklumat lengkap tentang seks.

Benteng

Kita perlu undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam menangani masalah ini. Kerajaan juga perlu mengambil langkah tegas.. Namun akhirnya, kita akan kembali kepada hubungan kita dengan Allah SWT. Al-Quran di dalam surah Yusuf menceritakan bagaimana hebatnya Nabi Yusuf a.s digoda oleh seorang wanita untuk berzina. Sebagai manusia sungguh godaan itu cukup hebat sehingga timbul gelora nafsu dalam diri baginda. Namun apa yang menjadi benteng kukuh Nabi Yusuf a.s adalah muhsin (sedar kehadiran Allah SWT-surah Yusuf: 22) dan mukhlis (hati yang suci bersih-surah Yusuf: 24). Ketahuilah bahawa Muhsin dan Mukhlis itu berasaskan ilmu. Ilmu itu perlu pada amal.

Amal pula perlu pada istiqamah (berterusan) hingga kita menghayati setiap amalan tersebut. Maka dengan itu kita telah menyediakan insan soleh seperti ikan di lautan, yang tidak masin walaupun seumur hidup bergelumang dengan masin lautan. Jika dicampak ke daratan menjadi gunung, jika dicampak ke lautan menjadi pulau.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails