Friday, May 21, 2010

nota buat budak dakwah

Saya memilih berbicara tentang cinta walau mungkin pengalaman saya terhad dan pemerhatian serta pengetahuan saya terbatas, maka mungkin sedikit sahaja yang dapat saya kongsikan. Namun semoga pada yang sedikit itu Allah campakkan keberkatan, menambahkan pengeTAHUan, meningkatkan keMAMPUan dan menetapkan keMAHUan kita, memulakan kembara perubahan mencari jalan menuju Tuhan.


“jangan benci bilang cinta
jangan marah bilang sayang
jangan mendustai hati
bila engkau memang suka”

Jangan sesekali anda rasa muak berbicara soal cinta, kerana hakikatnya soal cinta ini yang mencorakkan sebahagian besar kehidupan remaja. Bahkan selaklah dada akhbar, statistik kelahiran anak luar nikah, lari dari rumah untuk menikah dengan teman lelaki, seks bebas dan pelbagai lagi adalah siri-siri gejala cinta.

Ketahuilah bahawa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila seketul daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah HATI’

Jadi jika anda keliru, mengapa azzariyat masih berbicara soal cinta, jawapannya kerana kita saling berkongsi cita-cita yang sama untuk mengubah manusia. Dan tiadalah sesiapa yang dapat mengubah seseorang yang lain melainkan orang itu mengubah apa yang ada dalam dirinya iaitu hati. Kerana biar berjuta perkara yang kita TAHU, biar berjuta keupayaan yang kita MAMPU, kita tidak akan tergerak untuk berubah kecuali selepas hati kita MAHU. Dan momentum perubahan yang besar hanya mampu dicetuskan oleh cinta.

Nikmat Syurga Yang Hilang Serinya

Cinta sesama manusia itu pertama sekali dicipta untuk Adam di syurga, dan nikmat itu diwarisi oleh anak cucu Adam di dunia. Jadi nikmatnya cinta ini tidak usah diragui, memang tidak terperi indahnya. Namun malangnya cinta kini makin hilang seri syurganya, lantaran para ‘pencinta’ makin hilang seri ‘penghuni syurganya’. Jadi cinta yang sepatutnya mengangkat wajah kita menyapa Cinta Ilahi, bahkan menjerut pula leher kita tersembam di kaki maksiat dan nafsu nafsi. Akibat gagal menguruskan cinta ini, maka lahirlah pelbagai siri gejala yang pelik-pelik sehingga manusia tergamak berbunuhan.

Seorang ibu membunuh anak luar nikahnya.

Seorang suami membunuh isterinya.

Seorang kekasih membunuh dirinya.

Murahnya harga sebuah kehidupan apabila cinta tidak dijalankan di landasan yang betul.

Dakwah

Maka mungkin kerana risau atau mungkin bosan dengan situasi sebegini terdetik keinginan bagi sesetengah pihak untuk berbuat sesuatu. Atas kesedaran untuk merubah suasana menjadi lebih baik, merubah dunia menjadi lebih cantik, lahirlah sekumpulan manusia yang tega berdakwah, merasa terpanggil untuk mengajar manusia menguruskan cinta.

“abang macam mana saya nak tegur kawan tentang isu couple ni ya?”

Kebelakangan ini kami banyak menerima soalan-soalan sebegini. Semestinya kami gembira kerana sekurang-kurangnya pelajar-pelajar semakin meningkat keinginan untuk saling menegur serta sudi meluangkan masa berfikir tentang masalah umat. Namun kadang kala, cara kita menterjemahkan perasaan kita untuk mengubah manusia itu, sedikit meresahkan dan menyesakkan dada kami.

“isy tak tahu ke couple tu haram? Nak sangat ke masuk neraka, hah nanti berdating la puas-puas kat neraka tu ya!” seorang daie berjalan puas setelah ‘menasihati’ sepasang couple.

“salam… tadi akak nampak, duduk berdua dengan lelaki kat taman. Dah banyak sangat ke pahala, dah confirm masuk syurga? Dah teringin sangat masuk neraka” sms seorang senior kepada juniornya.

“budak macam ni dah tak boleh buat apa dah, kita ‘brainwash’ kepala otak dia sikit baru dia sedar”

Jika kita sekadar ingin memuaskan hati sendiri dengan menghamburkan kemarahan kepada pasangan-pasangan yang bercinta ini, silakan. Jika kita hanya ingin melunaskan tanggungjawab menyampaikan walau satu ayat dari Nabi, maka silakan. Kerahlah bala tentera kita dari golongan budak surau, budak dakwah dan sekalian yang ada, seranglah mereka secara semuka atau sindir di belakang, keras atau berlapik. Maka lepaslah tanggungjawab anda, hidayah kan milik Allah, mereka nak terima atau tak itu antara mereka dengan Allah. Tugas anda dah selesai.

Begitukah cara kerja yang diajar nabi?

Ubah Kemungkaran

Kita tidak khilaf isu kewajipan mencegah kemungkaran, namun jangan lupa syarat mencegah kemungkaran mestilah tidak mencetuskan kemungkaran yang lebih besar. Adakah dengan kasar bahasa dan segala maki hamun yang anda hamburkan mampu mengubah mereka ke arah kesedaran atau menjauhkan mereka dari kebenaran?

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Ayat ini menjadi dalil bagi setiap yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangan, lidah atau hati mengikut kapasiti masing-masing.

Kamu diminta mengubah kemungkaran bukan sekadar mencegah atau menegah. Maka apabila usaha mengubah yang dipersoalkan perlu kita berfikir masak-masak setiap tindakan yang dilakukan itu mampukah mengubah kemungkaran? Lebih penting lagi perubahan itu ke arah makruf atau kemungkaran yang lebih besar?

Ubah Dengan Hati

Mengubah dengan hati bukanlah perkara paling rendah tarafnya atau paling remeh lantas diletakkan sebagai indikator serendah-rendah iman. Bahkan hatilah perkara paling asas (foundation) yang dengan tanpanya maka tiadalah iman. Dengan asas hati ini kita menguruskan lisan dan tangan (kekuasaan).

Justeru sebelum keluar berdakwah mengubah manusia, periksa dulu di dalam hati, sudah diluruskan niat atau belum. Adakah kita keluar berdakwah kerana benci atau cinta? Sudahkah ditanamkan rasa sayang kepada rakan seagama sebelum kita tega menghamburkan kata-kata bahkan mungkin nista dan hina?

Amat malang bagi mereka yang memakai lencana dai’e tapi berdakwah tanpa sifat empati. Amat malang bagi mereka yang menuntut perubahan dari mungkar kepada makruf, boleh berlaku sekejapan, sekelip mata. Amat malang bagi yang berfikir kekerasan dan ketegasan adalah cara Islam mendepani maksiat dan kerosakan.

Mari Belajar Dari Umar

Ketika anakanda khalifah Umar Abdul Aziz bertanya kepada ayahnya, “wahai ayahanda, mengapa ayahanda tidak segera menghapuskan kezaliman yang sedang berlaku?”. Khalifah menjawab, “Jangan terlalu tergesa-gesa wahai anakanda, sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengkeji khamar (arak) sebanyak dua kali, dan pada kali yang ketiganya barulah diharamkan. Sesungguhnya daku khuatir apabila daku paksakan mereka untuk menerima perkara yang hak secara serta-merta, maka sebaliknya mereka akan meninggalkannya, maka akan timbullah fitnah yang lebih besar lagi…”

Bukankah Allah itu Al-Halim (maha penyantun), maka bagaimana pula kita sebagai hamba tidak sudi belajar dari sifat-Nya yang mulia, yang tidak serta-merta mengharamkan arak yang ketika itu menjadi minuman kebiasaan malah utama masyarakat arab?

Belajar Dari Nabi

Menurut hadis yang dilaporkan oleh Ibnu al-Mubarak, “Apabila engkau hendak mengerjakan sesuatu, fikirkanlah akibatnya, apabila akibatnya baik kerjakanlah, apabila akibatnya buruk tinggalkanlah”

Wahai budak-budak dakwah, sebelum lisanmu tega berkata-kata, sebelum tanganmu tangkas menghayun senjata, fikirkanlah akibat perbuatanmu. Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pertamanya suburkanlah dahulu cinta dalam hatimu.

Rasullulah berdepan dengan pelbagai kerenah manusia dalam siri dakwahnya.

Ada Arab Badwi yang kencing dalam masjid.

Ada yang memohon untuk merompak.

Bagaimana Rasullullah menanggapi semua ini dengan penuh berhikmah? Baginda tidak sewenang-wenangnya menggunakan statusnya sebagai nabi dan membentangkan berjela-jela nas-nas al-Quran dan mengakhirinya dengan “Haram! Kamu tak ikut cakap aku, masuk neraka!!!”

Kisah seorang pemuda yang datang bertemu Rasullullah untuk memohon keizinan untuk berzina boleh kita jadikan iktibar. Pemuda ini dibawa mendekati Rasullullah,

“Wahai pemuda,” sapa Nabi SAW. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Nabi mengakhiri nasihatnya dengan DOA!!

Berapa ramai di antara kita yang lantang menegur kemungkaran mendoakan orang yang didakwahkan? Malah kalau dimuhasabahkan, kita hari ini lebih banyak mendoakan neraka daripada mendoakan dia masuk syurga.

Maka nilai kembali mengapa kita berdakwah tentang cinta.

Adakah untuk melunaskan kebencian, rasa meluat terhadap pasangan-pasangan yang berpeleseran di taman? Atau kerana kasih dan sayang untuk membawa mereka bersama-sama meniti jalan ke syurga?

Wahai para dai’e yang saya cintai,

Bukanlah seruan saya untuk anda menutup mulut, mata dan telinga daripada maksiat yang berlaku di depan mata. Bahkan bukan pula seruan saya untuk anda tidak berbuat apa-apa.

Namun seruan saya adalah pada mengikhlaskan niat, untuk mengubah manusia kembali kepada Tuhan. Maka sebelum hati mereka dihubungkan kepada Tuhan, hubungkanlah hati anda dengan mereka dahulu.

Ya dakwah secara berhkmah itu pelbagai, pesan yang tegas dan nasihat yang keras itu juga boleh jadi berhikmah. Namun sudahkah dicuba segala jalan yang lembut menyantuni sebelum kita memilih jalan yang keras menghukumi?

“If I had My Child to Raise Over Again”
By Diane Lemons
(From Chicken Soup for the Soul)

If I had my child to raise all over again :
I’d build self-esteem first, and the house later.
I’d finger-paint more, and point the finger less.
I would do less correcting and more connecting.
I’d take my eyes off my watch, and watch with my eyes.

I would care to know less and know to care more.
I’d take more hikes and fly more kites.
I’d stop playing serious and seriously play.
I would run through more fields & gaze at more stars.

I would do less correcting and more connecting.

Saya akan kurang membetulkan dan banyak menghubungkan.

Beli Cinta dengan Cinta

Jika cinta di dalam hati anda, seorang manusia di depan mata yang tampak jasadnya, pun tak dapat dilihat oleh manusia, maka bagaimana manusia itu hendak dibawa melihat Cinta Allah yang tak ternampak dek mata?

Milikilah sedikit nilai empati. Ketika mereka yang sedang bercinta, merasa cukup bahagia dan tenang kerana ada teman untuk berkongsi rasa dan mereka rasa bagai berada di syurga dunia.

Tiba-tiba anda datang membawa gambaran sebuah neraka dengan wajah sebengis Malaikat Zabaniah, dan anda minta mereka mengikut seruan anda. Renung-renungkan!

Belilah cinta mereka dengan cinta. Jangan pernah membenci cinta apatah lagi membenci pencinta.

Setelah berikhtiar panjatkanlah doa kepada Allah, kerana hidayah bukan milik kita.

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu) [al-Ghasyiyyah 88: 21-22]

Saya akhiri dengan satu hadis untuk renungan semua.

Diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari r.a berkata : Ada seorang lelaki berkata kepada Rasullullah; Saya sengaja datang terlambat untuk melaksanakan solat subuh kerana si fulan (imam) selalu sangat memperpanjang bacaan (surahnya). Abu Mas’ud berkata lagi : Saya tidak pernah melihat Rasullullah s.a.w berkata dalam keadaan yang sangat marah, selain daripada hari itu ketika baginda menyampaikan nasihatnya seraya berkata : “Sesungguhnya ada di kalangan kamu orang yang menyebabkan orang ramai lari meninggalkan ajaran Islam;

"sesiapa sahaja di antara kamu menjadi imam dalam solat, maka hendaklah ia memendekkan bacaannya kerana di antara mereka ada yang lemah, berumur tua dan mereka yang mempunyai hajat dan keperluan lain.”

Perhatikanlah ucapan (lisan) dan tindakan (tangan) anda.

Kalau tak dapat membawa mereka mendekati Allah sekalipun, jangan dibawa mereka makin lari dari Allah.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails