Saturday, June 26, 2010

REJAB YANG DINANTI...

Kaum muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan terus menerus mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala apa-apa jua larangannya, mudah-mudahan kita tergolong menjadi hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

Allah Subhanahu Wataala yang maha berkuasa telah menciptakan alam dengan begitu sempurna untuk keperluan hidup makhluknya. Dengan peredaran serta pusingan planet bumi, bulan dan bintang-bintang, maka wujudlah perkiraan masa atau zaman, dua belas bulan dalam satu tahun, empat daripadanya dinamakan bulan haram yang dihormati dan mengandungi kemuliaan dan kelebihan yang tersendiri.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 36: Tafsirannya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama kamu yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangannya. Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”.

Daripada Abu Bakrah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah Subhanahu Wataala menciptakan langit dan bumi, satu tahun mengandungi dua belas bulan, daripadanya empat bulan haram, tiga daripadanya bulan itu berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dan satu bulan berasingan iaitu Rejab diantara Jamadilakhir dan Syaaban.

Bulan Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah. Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa Isra’ dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya.

Umat Islam digalakkan untuk beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat di dalamnya.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah:-

Pertama: Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam memang digalakkan untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca salawat sangat besar pahalanya.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Ertinya:” Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali. Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka. Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”. [Riwayat At-tabrani].

Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dari Allah Subhanahu Wataala disebabkan ia bersalawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kedua: Bertaubat: Kita digalakkan untuk memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan pengampunan.

Ketiga: Berpuasa: Kita Umat Islam digalakkan untuk banyak berpuasa pada bulan Rejab.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi. Tafsirannya: Sesungguhnya didalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai itu”.

Keempat: Berdoa : Apabila berada di bulan Rejab, kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila masuk ke bulan Rejab baginda berdoa dengan doa berikut: Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

Selain daripada itu banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain. Allah Subhanahu Wataala membukakan pintu rahmat seluas-luasnya bagi mengampunkan dosa-dosa hamba-hambanya yang bertaubat, setiap permohonan kita kepada Allah Subhanahu Wataala pasti akan mendapat balasan jua dan jika kita mempraktikkannya insya-Allah pasti kita akan memperolehi kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Tahrim ayat 8:
Tafsirannya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan bertaubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails